Monday, November 3, 2014

Dividen Sedekah Yang Ikhlas dan Dari Harta Yang Suci



…dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. (Baqarah:272)
Ikhlas: Semata-mata Kerana Allah SWT
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menerima apa-apa amalan melainkan amalan yang dilakukan khas untuknya dan diharapkan supaya Allah memperkenankannya” (Riwayat An-Nasai melalui Abu Umamah)
Allah melihat kepada keikhlasan sesorang dalam melakukan amalan. Hati hendaklah baik dan ikhlas samada dalam hubungan dengan Allah juga dalam hubungan sesama manusia. Bahkan manusia tidak akan menerima persahabatan yang tidak ikhlas, misalnya persahabatan hanya untuk sesuatu kepentingan.
Untuk selamat di akhirat, kita hendaklah sengaja beribadat iaitu melakukannya semata-mata kerana Allah.  Allah akan membalas amalan orang Islam yang dilakukan semata-mata untukNya.
“Dan tidak ia (Allah S.W.T.) menanggung budi sesiapa pun, (dengan amalan mereka) yang patut dibalas, melainkan (bagi) yang hanya mengharap keredhaan tuhannya yang Maha Tinggi, dan sesungguhnya ia akan dipuaskan hatinya. (Dengan dikurniakan apa yang diharapkan dari Allah S.W.T.)” [Surah al-Lail ayat 19-21].
Orang Islam disuruh melakukan ibadah dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Ikhlas adalah perasaan hati. Kita tidak dibenarkan menggunakan ibadat kepada Allah untuk tujuan lain misalnya untuk menunjuk-nunjuk, inilah dinamakan riak.
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan (hanya) supaya menyembah Allah S.W.T. dengan mengikhlaskan Ibadat kepadanya, lagi teguh di atas kesucian batin (Tauhid) dan seterus ayat tersebut.”
(Surah al-Bayyinah, ayat 5)
…..Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya [ Al-Kahfi 110]
Gandaan pahala mengikut keikhlasan niat
Setiap perbuatan baik dibalas pahala yang setaraf dengannya. Jikalau niat untuk melakukan kebaikan tapi tidak dilakukan dapat 1 pahala. Jika dilakukan 1 kebaikan diberi 10 pahala beserta dengan pahala niat, maka jumlahnya 11 pahala.
Ada kemungkinan diberi pahala sehingga 50, 100, 700, 1000 kali ganda pahala.  Balasan amalan itu dinilai dari segi keikhlasan niatnya. Semakin ikhlas semakin besarlah balasannya. Di dalam hadis:-
Sesungguhnya Allah S.W.T. merekodkan (segala) pahala kebaikan dan dosa kejahatan, sehingga Baginda Mulia (Nabi Muhammad s.a.w.) menerangkan, Siapa (orang Islam) yang berazam melaku (mengerjakan) kerja yang baik tidak ia lakukan, Allah S.W.T. memberi baginya 1 pahala kebajikan yang penuh, tapi jika ia berazam dan melakukannya, Allah memberi ia 10 pahala kebajikan yang penuh sehingga 700 kali ganda, dan sehingga lebih banyak lagi, dan jika sesorang orang Islam berazam hendak melakukan sesuatu kerja jahat (yang berdosa) tidak ia lakukannya, Allah mengurniakannya 1 pahala kebajikan yang penuh, tapi jika ia berazam dan melakukannya, Allah menulis dosa satu kejahatan yang penuh, dan tidak binasa seseorang itu disisi Allah S.W.T. melainkan orang yang telah ditakdir binasa (Bukhari, Muslim – Jamek Saghir 1/270)
Tidak boleh mendampingi Allah dengan duit yang haram.
Dari Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:”Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. …
Sedekah TidaK Mengurangkan Harta
Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda“Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (Hadith riwayat Tirmidzi).
Sebaliknya Allah akan mengganti setiap yang disedekahkan atau dikeluarkan zakat.
Saba [39] Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”


kredit to http://nasbunnuraini.wordpress.com

No comments:

Post a Comment